Sewaktu Mama.Wafi dok taip entry ni, hujan lebat mencurah curah di luar sana. Hujan ni dah berlanjutan selama 3 hari di Alor Setar. Kalau berterusan lagi, maka tidaklah mustahil kawasan kawasan yang rendah di Kedah ni banjir macam banjir yang terjadi sekitar November tahun lalu apabila hujan turun berlarutan. Semua kawan-kawan seofis Mama.Wafi amek EL.. sebabnya company policy xda cuti khas untuk bencana alam. Rugi la tahun tu buat orang yang every year dok dapat Bonus n Award sebab tak pernah ambil MC n EL…Tup2 hujung tahun mai banjir, tpaksa EL..Melepasss la sudaahhhhhhhh duit itu.huhuhu. sob..sob…
Mama.Wafi buka Tafsir Al-Quran dan Mama.Wafi mendapati ada lebih kurang 60 ayat di dalam Al-Quran menyebut tentang hujan..Bagaimana kejadian hujan, apa sebab diturunkan hujan, doa untuk menghentikan hujan dan banyak lagi rahsia hukum semulajadi ini,Allah telah ceritakan di dalam Al-Quran. Mama.Wafi dapat merasakan getaran di dalam hati ini apabila membaca ayat-ayat AlQuran ini tentang hujan kerana setiap kalimah yang Mama.Wafi baca, sangat terasa Kebesaran dan Kemuliaan Allah Subhanahu Wataala…
Dari pemahaman Mama.Wafi, apabila Allah menurunkan hujan, ianya boleh terbahagi kepada dua kategori. Yng pertama, hujan adalah rahmat dari Allah buat manusia, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan benda hidup yang lain. Yang kedua pula, hujan adalah satu bala atau bencana yang Allah turunkan akibat daripada perbuatan manusia yang lalai kepada Allah dan berbuat jahat di dunia ini.
Hujan Adalah Rahmat.
Dia lah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan, dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya); dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa). (Surah Al Baqarah Ayat 22)
Dan Dia lah yang menurunkan hujan dari langit lalu Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus; dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaiton serta buah delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu kepada buahnya apabila ia berbuah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman. (Surah Al An’aam ayat 99)
Cukuplah Mama.Wafi selitkan 2 ayat daripada hampir 60 ayat yang Mama.Wafi jumpa. 2 ayat ini sudah cukup untuk menggerunkan jiwa kita tentang Kebesaran Allah dan sudah cukup untuk menerangkan tentang rahmat yang Allah turunkan kepada kita melalui hujan. Hujan diturunkan untuk menyuburkan tanaman kita, menyegarkan tumbuh tumbuhan dan haiwan2. Hayatilah ayat-ayat AlQuran ini untuk menjadi pedoman dan kesedaran kepada kita termasuklah Mama.Wafi jugeeeee…..
Hujan Adalah Bala dan Peringatan Dari Allah.
Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan (dengan banjir dan taufan), kemudian (pada hari akhirat) dimasukkan ke dalam neraka; maka mereka tidak akan beroleh sebarang penolong yang lain dari Allah (yang dapat memberikan pertolongan). (Surah Nuh Ayat 25)
Mereka tetap juga mendustakan Nabi Nuh, lalu Kami selamatkan dia bersama-sama pengikut-pengikutnya yang beriman di dalam bahtera, dan kami jadikan mereka pengganti-pengganti (yang memakmurkan bumi) serta Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami (dengan banjir dan taufan sehingga punah-ranah semuanya). Maka lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang (yang mendustakan ayat-ayat kami) setelah diberi amaran. (Surah Yunus Ayat 73)
Dan Kami hujani mereka dengan hujan (azab yang membinasakan); maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa kaum yang telah diberi amaran. (Surah Assyuraa Ayat 173)
Ayat-ayat di atas dan banyak lagi ayat di dalam Al Quran menerangkan tentang amaran dan Bala dari Allah setelah manusia mengingkariNya. Jadi, bila berlaku banjir di mana- mana, kita harus ingat bahawa Allah sedang menberi peringatan dan balasan ke atas dosa-dosa yang telah kita lakukan. Musibah ini juga sebgai ujian Allah kepada hambanya yang sabar dan beriman. Hayati ayat-ayat di bawah ini pula :
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Surah Al Baqarah Ayat 155)
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Surah Al Baqarah Ayat 156)_
Ujian Allah itu berlaku dalam pelbagai bentuk seperti bencana alam, kematian, kekayaan, kemiskinan, kesihatan dan kesakitan. Perkara itu untuk membuktikan siapakah yang penyabar serta tetap bertuhankan Allah dalam apa juga keadaan yang ditempuhinya.
Jadi, jelaslah bahawa orang yang sabar itu adalah yang tetap beriktikad, bahawa diri mereka hamba dan milik Allah walaupun ditimpa musibah yang amat berat. Malah, mereka sentiasa mengharapkan balasan pahala daripada Allah dan sentiasa takuti azab-Nya.
Begitu la panjang lebar sekali Mama.Wafi mengupas tantang hujan ini… Untuk menjadi peringatan kepada Mama.Wafi dan semua umat Islam. Oppppsss…sebelum Mama.Wafi terlupa, ni ada satu ayat di dalam AlQuran yang boleh dibaca untuk memohon perlindungan dari Allah supaya dijauhkan daripada banjir dan hujan yang membinasakan.
DOA APABILA BANJIR ATAU HUJAN LEBAT
Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: “Wahai bumi telanlah airmu, dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu”. Dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu. Dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung “Judi” serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): “Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim”. (Surah Hud Ayat 44)
Semoga kita semua diberi petunjuk dan hidayah oleh Allah Subhanahu Wataala. Yang baik dari ALLAH dan yang buruk dari Mama.Wafi sendiri. Amin dan Wassalam….
Tidak ada komentar:
Posting Komentar